MALAM


Malam .....
Kedatanganmu dengan bebagai kandungan
Memaparkan duka sengsara
Memaparkan kerasukan nafsu

Malam......
Berbagai warna dipaparkan padamu
Dengan warna noda
Warna suci

Malam.......
Adakah umat yg menghiasi malammu dengan munajat
Sungguh mulia jika kau dihiasi dengan warna yang suci

Malam.......
Aku syukuri padamu YaAllah kerna masih diberi kesempatan
Menyelusuri keindahan malammu dengan munajat dan memohom kemapunan
YaAllah ampuni dosa hamba,insan yang terlalu lalai dengan nikmatMu

Malam......
Kau akan berlabuh menimbulkan sinar
Tanggal 12 Rabiul Awal,kelahiran insan yang amat ku sanjungi
Ya Rasullullah,aku merinduimu
Hanya selawat dan salam dapat ku berikan padamu

M.A.L.A.M
        
Antara anugerah Yang Maha Esa yang paling saya  kagumi merupakan suatu ketika yang diberi nama M.A.L.A.M. Saat ini, manusia dapat beristirehat selepas penat lelah di siang hari. Waktu ini jugalah waktu yang paling saya gemari untuk menarikan jari di atas papan kekunci bersama ketenangan suasana menghiasi atmosfera. Dihiasi bintang-bintang yang berkerlipan seolah bertasbih menyucikan zat Yang Maha Suci. Nyaman terasa disapa belaian angin yang bertiup atas perintah Tuhannya. Inilah sebahagian antara nikmat yang Allah S.W.T selitkan di sebalik penciptaan saat bergelar M.A.L.A.M.
         
Persoalannya apakah kelebihan saat bernama M.A.L.A.M. ini? Malah, Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa turut bersumpah dalam kitab agung-Nya Al-Quran dalam satu surah yang dinamakan khas sempena kejadian M.A.L.A.M ini? Apakah rahsia di sebaliknya?
          Ingin saya utarakan. Saya bukanlah seorang ahli sains yang mengkaji rahsia di sebalik penciptaan M.A.L.A.M namun saya ingin sekali mengajak para pembaca sama-sama berfikir, merenung, menghayati dan mengambil iktibar atau pengajaran daripada ciptaan Allah S.W.T bernama M.A.L.A.M ini, seperti yang dituntut Allah S.W.T. dalam firman-Nya :
Ertinya : ....Maka ambillah pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai pandangan. ( Al-Hasyr : 2 )
Malam di Zaman Rasulullah



          Pada zaman permulaan Islam, M.A.L.A.M merupakan masa untuk mereka beribadat, membaca ayat-ayat Allah, bertasbih dan menyucikan Allah Azza Wajalla. Bahkan, pada zaman itu Qiyamullail ( iaitu bangun malam untuk beribadah kepada Allah ) diwajibkan atas semua orang Islam berdasarkan firman Allah S.W.T :
Maksudnya : Hai orang-orang berselimut. Bangunlah ( untuk solat ) di malam hari kecuali sedikit ( daripadanya ) ( Al-Muzzammil : 1 - 2 )
          
Dan menurut para mufassirin ( pentafsir Al-Quran ), perintah ini berlanjutan sehinggalah turunnya ayat ke-20 dari surah yang sama. Sejurus turunnya ayat itu, perintah Qiyamullail yang sebelumnya wajib ke atas semua orang Islam berubah menjadi sunat namun kekal wajib ke atas Rasulullah S.A.W menurut pendapat paling rajih ( kuat ).

Malam Kunci Kemenangan



          Pada era ini, apabila disebut perkataan M.A.L.A.M, sudah pasti ramai antara masyarakat di luar sana terbayang pada Malam Anugerah Juara Lagu, Malam Anugerah Bintang Popular, Malam Gala dan pelbagai jenis M.A.L.A.M yang kebanyakannya dipenuhi maksiat, bertentangan dengan perintah Allah S.W.T. 
          
Terbayang pada minda masyarakat, apabila disebut perkataan M.A.L.A.M pasti yang bermain di kotak fikiran adalah artis-artis berpakaian mengikut tema dan fesyen terkini menerima anugerah dan pengiktirafan atas titis peluh mereka dalam mengharungi karier masing-masing kononnya demi mengangkat martabat industri perfileman, industri muzik dan sebagainya yang pada hakikatnya tidak bernilai walau secebis pun di hadapan Allah S.W.T.
        
Namun, ini bukanlah apa yang ingin penulis highlightkan sebaliknya penulis ingin mengajak pembaca kembali mengimbau M.A.L.A.M para sahabat, ulama' salafussoleh dan mujahidin fi sabilillah. Mereka inilah yang sepatutnya diangkat sebagai idola kerana ketaatan dan ketaqwaan mereka terhadap Allah S.W.T, bukan para artis yang mendedahkan aurat dan berpakaian mencolok mata, mengundang pelbagai fitnah dan kontroversi bahkan menjatuhkan maruah Islam! Merekakah yang kita kagumi?
          
Lihatlah M.A.L.A.M orang-orang beriman ini, M.A.L.A.M mereka tidak disirami limpahan cahaya bergemerlapan. Tiada anugerah gilang-gemilang bagi meraikan mereka. Tiada kerlipan flash kamera seperti yang dinikmati artis-artis hari ini.
          M.A.L.A.M mereka bahkan jauh lebih indah berbanding M.A.L.A.M para artis tadi. M.A.L.A.M mereka dihiasi alunan ayat-ayat cinta Tuhan, ditemani rukuk dan sujud yang penuh khusyuk, dipenuhi munajat yang penuh harapan serta dilimpahi air mata ketaqwaan menunjukkan gerunnya mereka terhadap azab Yang Memiliki Hari Pembalasan. Mereka meyakini janji Tuhan mereka yang disampaikan menerusi lisan Nabi mereka, Muhammad S.A.W.
        
Inilah kunci kepada pembukaan kota Konstantinopel ( kini Istanbul ) oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya. Inilah juga pemangkin semangat Sultan Salahuddin Al-Ayubi membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Tentera Salib. 
          
Tidak dilupakan juga, M.A.L.A.M yang dipenuhi airmata kehambaan juga melahirkan para imam yang berani berhujjah menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan. Mereka begitu amanah dengan ilmu yang mereka miliki walau ditawarkan dunia dan segala isinya. 
          
Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi, Imam Nawawi merupakan permata ummat yang teguh dengan ilmu masing-masing dan tidak mudah disilaukan dengan emas permata dan pangkat di dunia. Tidak mengeluarkan fatwa dengan sewenang-wenangnya walau dipaksa pemerintah. 

Iktibar di sebalik Penciptaan Malam



          
M.A.L.A.M merupakan masa yang amat sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Qiyamullail amat digalakkan untuk menjana kekuatan rohani dan merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. Waktu ini juga waktu yang sangat digalakkan untuk berdoa :
Dari Abu Hurairah ra., bahwasanya Rasulullah saw. bersabda : “Tuhan kami yang Maha Suci dan Maha Tinggi setiap malam turun ke langit dunia ketika tinggal sepertiga malam yang akhir. Dia berfirman : “Barangsiapa yang bermohon kepadaKu maka Aku perkenankan. Barangsiapa yang mohon kepadaKu maka Aku beri, dan barangsiapa yang mohon ampun kepadaKu maka Aku ampuni”. (Hadits riwayat Bukhari).
Allah S.W.T juga memilih M.A.L.A.M untuk memperjalankan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa masyhur yang dikenali sebagai Isra' dan Mi'raj. Peristiwa ini bertujuan memotivasi Rasulullah S.A.W selepas berlaku peristiwa pemulauan Bani Hasyim dan kewafatan isteri tercinta, Khadijah binti Khuwailid.
        
Kesimpulannya, waktu M.A.L.A.M ini merupakan nikmat yang berharga kurniaan Allah S.W.T dan seharusnya dipergunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada-Nya bukan melakukan maksiat kepada Allah S.W.T dan mensia-siakan peluang kehidupan seperti yang dilakukan kebanyakan remaja masa kini yang mengabaikan solat kerana sibuk merempit dan berpacaran, berlawanan dengan tuntutan Allah S.W.T.


from : http://zamrizainalabidin.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment