surat untuk kamu yang tidak ku ketahui siapa
Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu;
Kumulakan
bicara ini kepada kamu dengan menyebut nama Allah yang Agung. Maha Suci Allah
yang menjadikan aku dan kamu, lelaki dan perempuan. Sebenarnya aku agak canggung
untuk menulis tinta ini buat kamu. Ya, siapa pun kamu yang telah ditakdirkan
Allah untukku, aku bersyukur seadanya, mengurniakan kamu padaku pada suatu masa
yang telah Allah tetapkan.
Aku sedang menjaga hati ini hanya untuk kamu
yang aku sendiri tidak tahu siapa. Aku sedang menjaga diri ini untuk yang sah
memiliki. Aku juga berharap yang sama dari kamu. Maka, aku tidak akan
seenak-enaknya memberi senyuman manis kepada lelaki-lelaki lain. Aku juga tidak
mungkin menyerahkan cinta dalam hati ini yang masih tersimpan rapi untuk kamu
yang aku tidak ketahui siapa.
Pertamanya, aku mohon maaf secara terbuka,
andai episod semalam pernah menyaksikan kecundangnya aku dalam bab cinta. Baru
aku sedar, aku tidak pernah memberikan cinta kepada mereka, aku menipu diri
sendiri. Yang pastinya, aku tidak pernah jujur. Aku bilang aku cinta tapi
sebenarnya tidak; mungkin kerana keseronokan semata. Aku mohon maaf untuk itu
andai kesucian hati sebelum ini pernah dirobek.
Kamu yang tidak ku
ketahui siapa;
Aku cuma menginginkan kamu sedang dalam persediaan. Aku
tidak kisah siapa pun kamu, yang penting kamu belajar. Menambahkan ilmu
pengetahuan di dada, agar suatu hari nanti kamu boleh mengajar anak-anak kita
dengan ilmu kamu. Aku tidak suka lelaki yang membuang masanya, berhabis masa
bermain game PS2, atau chit chat kosong semata, atau hobinya melepak di
warung-warung kecil di tepian jalanan. Kerana aku mementingkan ilmu sebagaimana
aku sedang berusaha untuk meraih ilmu kini.
Aku juga mahu kamu yang tidak
ku ketahui siapa kuat untuk berjaga malam demi merebut kasih Allah. Aku ingin,
setelah pernikahan kita nanti, malam-malam kita diisi dengan tahajud cinta
kepada-Nya bersama. Aku sangat menginginkan detik ini kerana aku sangat sukar
melakukannya sendirian. Dan aku sangat mahu engkau yang menjadi imam pada setiap
solat-solatku. Tolong tunaikannya...
Aku pasti sangat bersedih andai aku
bisa dibuka hijab untuk melihat perlakuanmu kini, pemakaianmu, dan akhlakmu.
Entahlah, dari dulu sehingga sekarang, aku sukar menerima lelaki yang memakai
seluar pendek sehingga menampakkan aurat mereka. Aku sedang menjaga auratku juga
dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya, yang bukan halal bagiku. Aku
sangat dukacita andai kamu yang aku tidak tahu siapa mudah patah hati dalam
perjuangan menegakkan syiar di jalan Allah. Aku tidak mahu kamu mudah berputus
asa, kerana aku akan sentiasa mendoakan kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa
sentiasa bersemangat menjulang panji-panji agama. Semoga kamu bisa menjadi
seperti Asadullah.
Maafkan aku, jika sebelum kita bertemu ini, akhlakku masih
pincang, kata hati sering diikuti. Kerana itu Allah belum menemukan kita, kerana
kita masih dalam perjuangan; perjuangan memburu cinta Illahi. Agar kasih kita
suatu hari nanti bersandarkan kasih-Nya.
Bakal zaujku,
Aku sangat
takut untuk mengharungi dunia ini seorang diri. Aku takut melihat jatuhnya
akhlak remaja kini, aku takut andai aku terjerumus dalam semua itu. Aku juga
khuatir melihat dunia kini semakin usang untuk didiami kerana tandusnya akhlak
muda-mudi. Dunia kita kini jauh beza, dunia kita tidak sama dengan dunia Islam
dahulu. Tiada lagi pemuda seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk Kota
Konstantinopel pada usianya 22/23 tahun. Kiranya, aku pernah minta kepada Allah,
agar Dia mengirimkan engkau secepatnya kepadaku agar aku dapat berlindung
kepadamu tapi aku tahu kamu masih dalam proses membina diri, maka aku tidak mahu
mengganggu fokusmu.
Yang paling penting, semoga engkau dapat menghormati
kedua orang tuaku dan anggap mereka sebagai orang tuamu juga. Kasihilah mereka
dan aku minta agar aku dapat berbakti untuk mereka walaupun tanggungjawabku akan
beralih padamu suatu ketika.
Aku tidak tahu; sama ada bakal zaujku yakni
kamu ini apakah aku kenal atau pun tidak. Siapa pun kamu aku terima seadanya,
cuma aku mohon semoga kamu punya iman dan agama untuk membimbingku suatu hari
nanti apabila tiba masanya saat kita dipertemukan Allah. Maafkan segala
keterlanjuranku sepanjang hayatku sebelum kita dipertemukan; iaitu saat
ini.
Akhir kata, semoga Allah melindungi kamu dan aku walau di mana pun
kita berada. Semoga Allah lah yang akan menjadi urusan utama kita pada setiap
ketika, semoga syiarnya kita bisa perjuangkan walau di mana jua kita berada. Aku
berharap agar imanmu sentiasa sihat. Insyaallah, aku akan cuba sedaya upaya
untuk menjaga diriku sebaik mungkin. Hidupku cuma ada Allah, dan itu
keyakinanku. Semoga kita dipertemukan oleh Allah pada masa yang telah Dia
tetapkan untuk kita. =)
No comments:
Post a Comment