bicara hati seorang muslimah

Aku wanita, ditakdirkan Ilahi untuk singgah di duniaNya yang sementara ini. Perjalanan hidupku amatlah berliku, namun aku tetap bersyukur ker hadratNya, aku masih mampu menikmati setiap helaan nafas yang menerjah paru-paruku ini.

Mataku gemar memerhatikan dunia sekelilingku. Mindaku juga gemar menterjemah apa yang disaksikan deria penglihatanku. Lantas aku hasilkan konklusi tentang beberapa perkara yang aku saksikan.

Konklusi yang aku sematkan di hati ini bukanlah sekadar bersumberkan pandangan mata, ia juga bersumberkan pengalaman diri yang selalu melakukan kesilapan sama berulang kali.

Tatkala mata dan minda melayari seindahhiasan.com ruangan Motivasi, timbul keinginan di hati ini untuk aku kongsikan pemikiran yang telah aku sematkan di dada ini.

Aku insan lemah yang selalu melakukan kesilapan. Aku juga seperti wanita lain, punyai keinginan hati yang ingin dipuaskan.

Tetapi aku tidak mahu hanyut dalam lautan ombak nafsu yang mengganas. Akan ku berenang melawan keganasan ombak hingga ku sampai ke syurga.
Aku mengerti mengapa wanita gemar mempamerkan sebahagian besar tubuh mereka. Percayalah, aku juga pernah berada di tempat mereka. Bangga menguasai diri apabila dapat mempamerkan hiasan diri persis model, menggoda.

Sekiranya boleh, mahu sahaja ditayangkan semuanya. Mahu tunjukkan pada dunia betapa indahnya perhiasan mereka. Apabila dipuji, bertambahlah senyuman di hati. Aku mengerti.

Aku mengerti perasaan sedemikian. Pakaian ketat dipilih. Bentuk badan yang cantik haruslah ditonjolkan. Aku mengerti.

Tetapi hari ini, aku melihatnya dari perspektif berbeza. Aku tidak mahu tubuhku menjadi ratahan mata-mata lelaki yang ganas.

Apakah nilaiku jika aset tubuhku aku tayangkan pada dunia? Lima sen? Satu sen? Atau mungkin lebih kurang dari itu. Tiada mahu aku gadaikan nilaiku.

Aku seseolah sengaja membiarkan diri didekati lelaki-lelaki yang rendah nilainya. Rendah nilainya bukan sahaja dari aspek maruah, malah juga rendah nilai hatinya.

Hari ini dia mengenaliku dan menyentuhku, keesokan harinya dia tinggalkan aku.

Dia sekadar mendekati aku kerana ingin memuaskan nafsunya, bukan untuk dia sematkan aku di hatinya. Ya, dia mendekati aku berlandaskan nafsu.

Dan di matanya, aku tiada nilai. Mudah diperlakukan sedemikian rupa. Mudah disentuh. Mudah juga untuk dia tinggalkan. Aku terasa seperti tidak dihormati. Apakah aku boleh diperlakukan sedemikian rupa sewenang-wenangnya?

Andai aku memakai pakaian yang menutup auratku, pasti lelaki yang mendatangiku, lelaki yang boleh mencintai aku bukan disebabkan kecantikan tubuh badanku, bukan juga kejelitaanku tetapi apa yang ada di hatiku.

Itulah cinta sejati buatku. Dia mencintai hatiku. Pasti dia dapat menemaniku sehingga hujung hayatku, menjagaku saat aku sakit dan melindungi aku sebagai isteri.

Aku tidak mahu disentuh lelaki dan ditinggalkan. Biarlah aku dikahwini, disentuhi dan selamanya bersama.
Aku tahu, ramai wanita yang terasa hebat apabila menyarungkan pakaian seksi, menampakkan isi yang menarik nafsu si lelaki. Apabila diri dipanggil-panggil oleh kaum Adam apabila berada di tempat ramainya kaum tersebut, terasa hebat, ’outstanding’, dan juga glamor (hot).

”Pasti ramai yang mengejar aku selepas ini,” Ya. Aku mengerti perasaan itu. Aku juga pernah melaluinya. Aku mengerti.

Namun, hari ini aku lihat dari aspek yang berbeza. Adakah ia sesuatu yang hebat apabila dikacau lelaki-lelaki seribu ramainya? Apakah hebat, kotak pesanan dipenuhi sejuta mesej lelaki yang enuturkan kata indah, cuba menawan hati ini?

Hakikatnya, langsung tidak. Ia cuma menunjukkan betapa hebatnya aku menjatuhkan maruah diri sehingga lelaki boleh mempermainkan diri ini sewenang-wenangnya. Sesesungguhnya, itu bukanlah kayu ukur populariti sebenar.

Andai aku menjaga tingkah laku, pemakaian dan akhlakku, pasti lelaki yang mendekatiku adalah lelaki yang menghormatiku, baik akhlaknya dan bukan berteraskan nafsu semata-mata.

Mereka juga suka akan diriku bukan disebabkan kecantikan luaranku, tetapi kecantikan dalamanku. Dan biasanya, lelaki begini melihat wanita untuk dijadikan isteri, bukan pondok sementara untuk mereka singgahi.

Dan apabila mereka ingin jadikan seseorang wanita itu isteri, pasti mereka dekati dengan cara yang baik, sebagaimana agama Islam telah gariskan.

Tidak perlu menabur 1001 janji manis, 1001 pujian, 1001 kata-kata indah. Dan lelaki tersebut pasti benar-benar inginkan aku, bukan sekadar menghiburkan hati dan memuaskan nafsu yang kegersangan.

Kata-kata manis mudah dilontarkan, namun tingkah laku sukar dilakukan. Andai seseorang itu menyukai aku, pasti dia usahakan agar aku dijadikan isterinya, bukan sekadar menabur janji-janji manis tak berkesudahan.

Mungkin ada yang tidak setuju dengan kata-kataku. Tak mengapa. Mungkin pandangan kita berbeza. Namun, fikirlah buat kali kedua.

Aku berbicara bukan sekadar mengeluarkan kata. Aku berbicara berdasarkan pengalaman diri yang telah aku lalui.

Mungkin ada yang ingin berubah namun terasa sudah terasa agak terlambat. Tidak sayang, masih belum terlambat.

Masih belum terlambat selagi nyawa dikandung badan.Selagi matahari terbit di sebelah Timur. Dan yang paling utama, Allah itu Maha Pengampun.

Pasti Dia akan rencanakan hidup yang lebih bahagia dan tenang selepas ini. Yakinilah pada Dia.

Sama-samalah kita berdoa agar kita semua berada di bawah lindunganNya dan diberi hidayah agar diri ini tiada lagi hanyut.

No comments:

Post a Comment